Thursday, May 8, 2008

Alahai Shabery... Blog di RTM

Alahai Shabery... Blog di RTM

Amin Iskandar Apr 30, 08 10:22pm

Sebaik sahaja dilantik sebagai menteri penerangan Ahmad Shabery Cheek mengumumkan beliau akan berinteraksi dengan penulis-penulis blog.

Dalam temuramah akhbar The Star (20 Mac) menteri tersebut menyatakan kesediannya untuk bertemu dengan penulis-penulis blog bagi membincangkan mengenai apa yang terbaik yang boleh dilakukan untuk negara.

Kalau dahulu, ketika kementerian diterajui Zainuddin Maidin mengambil sikap bermusuh dengan penulis blog, Shabery membuat perubahan dengan mengambil sikap bertoleransi dengan penulis blog.

Kenyataan bekas ketua penerangan Parti Melayu Semangat 46 itu mendapat reaksi positif daripada pelbagai pihak termasuk penulis-penulis blog terkemuka.

Tidak kurang juga yang “pesimis” dengan langkah ahli parlimen Kemaman.

Penulis blog terkemuka Ahirudin Attan yang popular dengan blognya Rocky’s Bru mencadangkan Shabery memulakan sebuah blog seperti yang dilakukan oleh menteri penerangan Indonesia, Mohammad Nuh.

Keterbukaan menteri penerangan negara jiran itu dalam berinteraksi dengan penulis-penulis blog berada di tahap “kemuncak” apabila beliau mengumumkan tanggal 27 Oktober sebagai “Hari Penulis Blog Kebangsaan”.

Ada juga penulis blog yang sinis dengan langkah yang cuba dilakukan oleh Shabery.

Penulis blog www.chanlilian.net mengingatkan pembaca blognya tentang kenyataan daripada Shabery ketika timbul isu rakyat China yang dipaksa bogel dan ketuk ketampi oleh polis satu ketika dahulu.

Antara langkah radikal yang diambil Shabery sebaik sahaja menjadi menteri, mewujudkan rancangan “Blog” di RTM 1.

Setakat ini, A.Kadir Jasin yang menggendalikan blog “The Scribe A Kadir Jasin” dan Raja Petra Kamarudin yang menggendalikan “Malaysia Today” telah diundang untuk berbicara.

Kadir dalam tulisannya yang mengulas mengenai rancangan TV itu menyebut, masih banyak yang perlu dilakukan oleh RTM untuk memperbaiki rancangan tersebut.

Antaranya, masa yang diberikan kepada ahli panel untuk bercakap seharusnya lebih lama berbanding masa yang diberikan.

Kadir turut memuji langkah Shabery yang dianggapnya sebagai satu tindakan yang berani.

Blog menjadi begitu popular dan mula diterima oleh pemimpin- pemimpin kerajaan selepas "tsunami" politik yang melanda negara pada pilihanraya umum 8 Mac.

Keputusan pilihanraya itu menjadi sejarah besar negara apabila menyaksikan BN hilang majoriti dua pertiga di parlimen.

Selain itu, BN kehilangan empat negeri seperti Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan 10 kerusi parlimen di Kuala Lumpur.

Kelantan yang diperintah oleh PAS juga gagal dirampas.

Keputusan pilihanraya yang mengejutkan ini mendorong ramai menteri dan pemimpin tertinggi BN memulakan blog mereka.

Ali Rustam, Muhammad Mohd Taib, Mohamad Khir Toyo dan Chua Soi Lek telah mempunyai blog masing-masing selepas berlakunya “tsunami” yang hampir-hampir menyungkurkan BN.

Mungkin ada ramai lagi pemimpin BN mempunyai blog atau yang sedang membuat blog tetapi belum saya jumpai.

"Sindrom blog" yang melanda pemimpin-pemimpin BN ini, pada pendapat saya, kerana mereka sedang berada dalam tahap penafian selepas pilihanraya umum ke-12.

Mereka ini tidak dapat menerima hakikat tentang prestasi buruk BN dan menjadikan blog atau internet sebagai punca utama kekalahan.

Pada pandangan mereka, punca utama kekalahan itu kerana mereka tidak memberi perhatian kepada blog atau internet.

Mereka cuba lari daripada masalah sebenar yang menyebabkan kekalahan BN.

Mereka terlupa bahawa BN telah menjadi parti politik kepada golongan elit dan bukannya rakyat marhaen seperti dahulu.

Contohnya, jika kita melihat Umno.

Kalau dahulu Umno dipenuhi golongan bawahan seperti guru, tetapi kini tidak lagi.

Umno sekarang sarang peniaga-peniaga Melayu yang bergantung kepada kontrak kerajaan.

Kalau dahulu orang Melayu masuk Umno untuk jadi pejuang, kini telah berubah.

Orang Melayu sekarang masuk Umno dengan harapan kelas ekonomi mereka dapat dipertingkatkan. Pemimpin-pemimpin BN juga terlupa bahawa rasuah dan penyelewengan telah menyebabkan mereka menjadi tidak popular.

Tambahan lagi sikap sombong dan angkuh telah mendorong rakyat bangkit menghukum mereka.

Rakyat tidak mungkin melupakan bagaimana menantu perdana menteri dan PM sendiri menggeluarkan kenyataan angkuh sebelum perhimpunan Bersih pada 10 November 2007. Mengapa blog menjadi begitu popular di Malaysia?

Popularnya blog di sini jauh lebih tinggi berbanding di negara jiran kita seperti Thailand, Filipina dan Indonesia. Rakan-rakan saya dari negara tersebut terpesona dengan perkembangan media baru di Malaysia seperti laman web dan blog.

Jawapannya mudah - kerana di Malaysia, kerajaan mengawal ketat seluruh media arus perdana. Pelbagai akta yang tidak demokratik seperti Akta Penerbitan dan Mesin Cetak digunakan untuk memastikan segala maklumat, pandangan dan tafsiran dapat dikawal oleh kerajaan.

Kawalan ini menyebabkan media arus perdana berada di tahap “tepu” dan sukar berkembang lagi.

Laporan-laporan yang berat sebelah dan memihak kepada kerajaan mendorong rakyat yang semakin bijak mencari media-media alternatif seperti laman web dan blog di internet.

Buktinya boleh dilihat apabila berlakun peristiwa-peristiwa politik besar di Malaysia seperti perhimpunan Bersih dan Hindraf, laman web seperti Malaysiakini dan Malaysia Today mengalami “kesesakan yang teruk” oleh kerana terlalu ramai pembaca cuba mencapainya hampir serentaj sehingga ia sukar diakses.

Shabery harus bertanya mengapa pembaca memilih untuk mencari maklumat di laman web dan laman blog untuk mengetahui tentang isu-isu semasa berbanding dengan media arus perdana?

RTM yang dimiliki oleh negara seharusnya menjadi media yang pro-rakyat dan berhenti menjadi “mesin propaganda BN” untuk terus relevan di Malaysia.

Laporan dalam RTM seharusnya tidak lagi berat sebelah dan terbuka kepada semua pihak termasuklah Pakatan Rakyat.

Jika Shabery mahu RTM naik setaraf BBC, beliau harus bersedia menjadikan RTM sebuah media yang bebas dan independen.

Beliau harus bersedia memastikan RTM menyiarkan kritikan-kritikan kepada perdana menteri, timbalan perdana menteri dan menteri kabinet termasuk diri beliau sendiri.

Kerana inilah yang dilakukan oleh BBC.

Walaupun didanai oleh kerajaan British, BBC tetap menyiarkan kritikan-kritikan kepada perdana menteri Britain dan parti pemerintahnya.

Jika perkara ini tidak dilakukan oleh Shabery, RTM akan tetap menjadi tidak popular.

Jika alasan utama mengawal RTM ialah untuk memastikan pengundi-pengundi Melayu di luar bandar terus bersama BN, hentikanlah.

Pengundi-pengundi Melayu di luar bandar kini sudah bijak.

Kalaupun mereka tidak dapat mengakses maklumat alternatif, mereka mempunyai anak-anak yang belajar atau bekerja di Kuala Lumpur.

Anak-anak inilah yang menyampaikan kepada mereka apa yang sebenarnya berlaku di Malaysia.

Rancangan “Blog” di RTM bukanlah bermakna RTM sudah bebas dan independen.

Reformasi pertama yang harus dilakukan oleh Shabery ialah "membebaskan RTM daripada politik kepartian".

Jika ia berjaya dilakukan, RTM tidak mustahil akan berubah dan menjadi media rakyat.

Jika tidak, reformasi yang cuba dilakukan oleh Shabery bolehlah dianggap perubahan kosmetik semata-mata.

Alahai Shabery...

No comments: