Sunday, April 27, 2008

Sidang akhbar Balkis



Sidang akhbar Balkis


Tujuan sidang akhbar ini dibuat adalah bagi menjelaskan isu berkaitan dengan pembubaran Persatuan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor “BALKIS” supaya tidak timbul lagi tohmahan yang tidak berasas dari pelbagai pihak terhadap BALKIS.


1. BALKIS telah ditubuhkan atas inisiatif isteri Menteri Besar, isteri-isteri semua ahli-ahli Dewan Undangan Negeri “ADUN” dan ahli Dewan Rakyat dalam negeri Selangor yang dianggotai oleh ahli biasa iaitu isteri Menteri Besar, isteri speaker, isteri-isteri ahli-ahli EXCO, isteri-isteri ADUN, isteri-isteri Ahli Dewan Rakyat Selangor, isteri-isteri ahli Dewan Negara Selangor termasuk isteri-isteri bekas-bekas ahli Dewan yang disebutkan tadi. Keahlian juga meliputi ahli bersekutu namun ahli bersekutu tiada kuasa mengundi. Ianya selaras dengan Fasal 5 Perlembagaan BALKIS. Penubuhan utamanya bertujuan sebagai satu badan amal yang dapat membantu mereka yang kurang bernasib baik dari segi mengembeling tenaga, daya usaha dan bantuan kewangan. Penubuhan BALKIS adalah di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan berfungsi sepertimana badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan lain yang dibentuk di bawah Akta Pertubuhan 1966. Adalah ditegaskan di sini BALKIS tidak ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang lain.


2. Sebelum seorang Menteri Besar dilantik menjadi Yang Di Pertua BALKIS, ianya hendaklah disahkan dahulu oleh satu mesyuarat Agung serta mendapat persetujuan dari isteri Menteri Besar itu sendiri dan ini selaras dengan peruntukan fasal 9.3(a) Perlembagaan BALKIS. Saya menegaskan di sini pada tarikh pembubaran BALKIS, Menteri Besar Selangor yang baru belum dilantik dan oleh itu isteri Menteri Besar belum dilantik menjadi Yang Di Pertua BALKIS. Ini bermakna saya masih memegang jawatan Yang Di Pertua. Oleh itu tidak timbul saya tiada mempunyai kuasa untuk mempengerusi mesyuarat Agung yang dipanggil untuk tujuan pembubaran BALKIS.


3. BALKIS telah dibubarkan di atas persetujuan ahli-ahli BALKIS sendiri yang mana lebih daripada dua pertiga (2/3) ahli biasa BALKIS telah bersetuju supaya BALKIS dibubarkan pada tarikh 11 Mac 2008 semasa Mesyuarat Agung Khas BALKIS diadakan. Seramai lebih daripada satu perlima (1/5) ahli biasa BALKIS telah memanggil satu mesyuarat agung khas bagi tujuan pembubaran tersebut. Pemanggilan mesyuarat agung khas ini dan pembubaran BALKIS telah dibuat selaras dengan peruntukan fasal 15(1) Perlembagaan BALKIS dan fasal 12 Perlembagaan. Minit-minit mesyuarat BALKIS boleh mengesahkan pematuhan segala peruntukan undang-undang ini.


4. Tindakan yang dilakukan oleh ahli-ahli BALKIS sebaik pembubarannya iaitu dengan memindahkan segala baki wang BALKIS kepada BAKTI adalah selaras dengan peruntukan Fasal 15 (2) Perlembagaan BALKIS yang memperuntukkan bahawa segala baki wang yang ada, setelah menjelaskan hutang dan tanggungannya, akan didermakan kepada kerajaan atau tabung lain yang serupa yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Hasil dalam Negeri Malaysia. BAKTI sebagai satu badan yang dibentuk atas tujuan yang hampir sama dengan BALKIS dirasakan paling sesuai untuk didermakan wang baki tabung BALKIS ini. Segala keputusan berkaitan dengan pembubaran dan mendermakan wang BALKIS ini telah dibuat oleh ahli-ahli biasa BALKIS semasa mesyuarat agung luar biasa dan bukannya keputusan saya sebagai Yang Di Pertua atau pun keputusan Jawatankuasa BALKIS dan ianya telah dilakukan dengan mematuhi segala peruntukan undang-undang.


5. Berkaitan dengan wang sumbangan yang diterima oleh BALKIS, ianya adalah mengikut peruntukan Fasal 8 Perlembagaan BALKIS yang mana punca kewangan BALKIS boleh di antara lainnya datang dari sumbangan kerajaan. Ini bermakna ianya termasuklah juga daripada syarikat-syarikat yang berkaitan dengan kerajaan. Oleh itu, apabila sumbangan yang diterima oleh BALKIS ianya menjadi milik BALKIS. Justeru itu, tidak timbul persoalan bahawa wang tersebut telah dikeluarkan semula dan dipulangkan kepada kerajaan negeri atau mana-mana syarikat kerajaan yang telah memberi sumbangan tersebut. Tambahan pula ianya telah disalurkan kepada pertubuhan lain yang juga berkaitan dengan tujuan kegiatan kebajikan. Mana-mana pihak tidak perlu bimbang kerana pihak BALKIS berkeyakinan penuh wang tersebut akan terus digunakan bagi tujuan kebajikan oleh pihak BAKTI.


6. Kenyataan ini adalah bagi menjawab segala tohmahan yang tidak berasas dan tidak tepat terhadap saya dan pihak BALKIS selama ini. Harapan saya setelah pejelasan terperinci ini dibuat tiada mana-mana pihak melemparkan tuduhan dan tohmahan yang tidak berasas, BALKIS akan merujuk dengan peguamnya untuk mengambil tindakan selanjutnya.


BADAN AMAL DAN KEBAJIKAN ISTERI-ISTERI SELANGOR (BALKIS).

No comments: